Wednesday, November 5, 2008

dari KL ke LA










TIDAK pernah saya bermimpi bahawa hari ini (12 Oktober 2008) saya akan menjejakkan kaki di bumi yang bernama Amerika Syarikat (AS). Perjalanan yang ditempuh selama 17 jam (belum dicampur tiga jam lagi waktu menunggu ketika transit di Hong Kong) sudah cukup membayangkan betapa jauhnya Los Angeles (LA).

Ketika menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Tom Bradley, perasaan saya bercampur baur, gembira, teruja dan berdebar kerana memikirkan penerimaan masyarakat Amerika saya adalah seorang lelaki yang mempunyai nama Islam.

Ternyata gerak hati saya itu menjadi realiti apabila saya disoal seorang pegawai imigresen AS hanya beberapa langkah dari pintu keluar balai ketibaan itu. Selepas menceritakan serba sedikit mengenai asal saya dari Malaysia dan bekerja sebagai wartawan yang berkunjung ke LA bersempena prebiu filem High School Musical 3: Senior Years dan temubual pelakon filem berkenaan, saya diajukan soalan cepumas.

"Awak kenal (Osama) bin Laden? Awak pernah buat liputan mengenai bin Laden?" tanya pegawai imigresen itu seperti berseloroh tetapi serius.

Saya jelaskan bahawa saya tidak kenal lelaki yang paling dikehendaki oleh kerajaan AS itu, apa lagi membuat liputan mengenainya.

"Macamlah aku peduli sangat hal Osama itu!" getus hati saya yang kesal kerana begitu tebal prejudis orang Amerika terhadap orang Islam.

"Bagus. Awak jangan Osama buat liputan bin Laden. Dia orang jahat," kata pegawai imigresen itu menutup perbualan singkat kami sejurus sebelum membenarkan saya melangkah keluar dari pintu balai ketibaan.

Ketika itu saya dapat membayangkan bagaimana perasaan Tom Hank dalam filem The Terminal pada saat dia melangkah keluar dari balai berlepas lapangan terbang JFK dan secara rasminya menjejak kaki di Amerika Syarikat. Rasanya seperti memasuki satu dunia baru yang diperkatakan banyak orang di seluruh dunia.

Ketika menaiki teksi dari lapangan terbang menuju hotel di Burbank, saya didedahkan dengan pemandangan yang selama ini hanya ditonton melalui televisyen atau wayang baik bentuk kediaman, premis perniagaan atau jalan raya, semuanya sama seperti yang digambarkan melalui filem Hollywood.

Perbualan dengan pemandu teksi yang peramah, warga AS keturunan Afrika, Seyoum Abebe memberikan gambar lebih jelas mengenai masyarakat dan tempat menarik yang boleh saya kunjungi di LA.

Selesai menguruskan soal penginapan termasuk berpindah penginapan dari hotel di Burbank ke hotel eksklusif Four Seasons di Doheny Drive (Dr) di Beverly Hills, saya menggunakan sisa waktu yang ada untuk memulakan penjelajahan di dunia Mat Saleh.

Malangnya, ketika saya keluar dari hotel sudah lebih 9 malam. Menurut seorang kakitangan hotel, waktu malam apa lagi malam minggu, perniagaan ditutup awal. Kalau ada sekalipun premis yang dibuka, kebanyakannya Drug Store 24 jam dan restoran yang ditutup lewat malam.

Dalam cuaca dingin dan hembusan angin malam penghujung musim bunga, saya menguatkan semangat berjalan termasuk Robertson Boulevard (Blvd) yang terletak di antara Beverly Blvd yang menempatkan kediaman eksklusif warga LA dan bahagian barat 3rd Street (St).

Berjalan di kali lima Robertson sudah cukup membuatkan saya cukup terpegun menyaksikan ruang pameran butik eksklusif memaparkan pelbagai hasil tangan pereka fesyen yang menjadi kegemaran selebriti seperti Cameron Diaz dan Jennifer Aniston.

Saya, sesuai dengan jumlah bekalan wang yang dibawa, hanya mampu `window shopping’ (melihat-lihat barang tanpa membeli) sambil menelan air liur mengenangkan berapa ribu dolar AS agaknya harga sehelai baju di situ.

Keesokan harinya, berikutan jadual liputan agak longgar dan hanya lewat petang baru ada sesi pendaftaran dan tayangan prebiu HSM 3. Saya sempat mendapatkan sedikit panduan daripada seorang kakitangan hotel warga Indonesia mengenai cara dan lokasi menunggu bas untuk ke Downtown LA.

Tepat sekali perumpamaan bagaikan rusa masuk kampung. Saya benar-benar terasa janggal dengan segala aspek di LA. Hanya tekad untuk tidak mensia-siakan setiap waktu yang ada di AS memberi kekuatan untuk saya meneroka pusat bandar LA.

Sampai di tempat menunggu bas Metro nombor 16 di 3rd St, saya memberanikan diri bertanyakan seorang lelaki kulit putih bagaimana hendak pergi ke Broadway. Ternyata lelaki bernama Darren M Franklin seorang yang baik dan peramah. Selepas bertukar kad nama ketika Darren turun di Hope St, baru saya tahu bahawa dia sebenarnya seorang peguam.

Pengalaman singkat dengan Darren mula membuka mata saya bahawa orang Amerika bukanlah seperti sangkaan negatif saya kononnya mereka suka mendominasi orang Asia dan hanya menganggap diri mereka terbaik. Secara kasarnya, orang Amerika berkongsi persamaan dengan masyarakat Malaysia, sama-sama peramah serta suka menolong orang asing terutama pelancong.

Di Downtown LA, saya turun di Jewellery District, kawasan yang menempatkan barisan gedung besar jualan batu permata dan jam tangan. Saya bukannya berminat sangat dengan barangan perhiasan yang tidak mampu dibeli itu, tetapi saya benar-benar terpukau dengan seni bina dan ukiran bangunannya cukup mengagumkan, unik dan amat cantik.

Saya juga dapat memerhatikan gaya hidup masyarakat di Downtown LA dengan urusan masing-masing, sistem lalu lintas dan perkhidmatan pengangkutan awam yang teratur cekap dan lengkap, pasukan bantuan kecemasan baik polis mahupun bomba yang sering kedengaran sirennya, orang kurang siuman yang meracau-racau di tepi kaki lima bangunan serta golongan `homeless' (tidak berumah) menyorong troli sarat dengan pelbagai barangan yang dikutip.


Satu lagi yang saya perhatikan ialah ada warga kota raya itu berbasikal ke tempat kerja dan uniknya bas awamnya boleh membawa basikal itu yang diletakkan pada para khas di depan pengangkutan awam berkenaan.

Berpandukan buka panduan pelancongan dan peta, saya menaiki bas lagi sekali dan menuju ke Chinatown. Seperti yang dijangkakan, orang Cina, barangan jualan, reka letak premis dan seni bina bangunan pasti hampir sama walau di mana ceruk dunia kelompok masyarakat itu berada.

Apa yang menarik di Chinatown LA ialah terdapat Saigon Plaza atau pasar Vietnam yang menjual pelbagai barangan import dari negara asal mereka. Kelompok masyarakat Vietnam di LA dikaitkan dengan penghijrahan masuk rakyat negara itu ketika zaman pembabitan AS dalam perang Vietnam pada 1970-an.

Perjalanan saya diteruskan pula ke Historic Core District dan tentunya menaiki bas menggunakan pas harian bernilai AS5 dolar (RM17.50) yang sah digunakan untuk ke mana-mana destinasi menaiki bas Metro atau keretapi bawah tanah hingga jam 3 pagi keesokan harinya.

Di Historic Downtown saya berpeluang mengenali masyarakat pewaris yang membuka dan menduduki LA iaitu orang Mexico. Pada 1781, sekumpulan 44 lelaki, wanita dan kanak-kanak Mexico membuka penempatan di LA di bawah penguasaan Sepanyol.

Warga AS keturunan Mexico mempunyai rupa paras, warna kulit dan rambut hitam mirip orang Melayu yang berkulit cerah. Dari segi fizikalnya, rata-ratanya lelaki dan wanita keturunan Mexico agak rendah berbanding ketinggian saya 176 sentimeter.

Kebanyakan mereka bertutur bahasa Sepanyol, malah ada beberapa orang yang saya sapa mengaku tidak tahu berbahasa Inggeris. Mungkin mereka hanya pendatang dari Mexico, bukan rakyat tempatan.

Di Historic Core District saya dapat memerhatikan gaya hidup, meninjau makanan kegemaran mereka, fesyen serta cara berpakaian, dan mengamati masyarakat peniaga serta barangan jualannya.

Persamaan fizikal dengan orang keturunan Mexico itu menjadikan saya tidak begitu janggal berada dalam masyarakat mereka. Cuma, gelagat saya agak menarik perhatian mereka apabila mengeluarkan kamera dan kamera video untuk merakam pengalaman berharga saya itu.

Kesuntukan masa tidak memberi saya lebih peluang untuk meninjau banyak lagi tarikan di Downtown LA seperti El Pueblo de LA, Fashion District, Toy District, Koreatown, Filipinotown dan Little Tokyo atau di pinggir pusat bandar seperti Thaitown, Little Armenia dan Little Ethiopia

Saya perlu bergegas pulang ke hotel sebelum ke pawagam yang mempunyai sejarah penubuhan sejak 1926 dan sering mengadakan tayangan eksklusif filem Disney, El Capitan Theatre di Hollywood Blvd. Selesai tayangan HSM 3, saya mengambil peluang berjalan-jalan di kaki lima Walk of Fame, meninjau Grauman’s Chinese Theatre, Wax Museum dan Ripley’s Believe it or Not Museum.

Pada malam itu, dalam perjalanan pulang ke hotel menaiki bas, saya bersama seorang rakan wartawan akhbar berbahasa Inggeris dari Malaysia terlepas perhentian sepatutnya menyebabkan kami terlajak hingga ke teluk Santa Monica.

Walaupun sudah larut malam, kami mengambil peluang keemasan itu untuk meninjau dermaga Santa Monica yang amat terkenal itu. Dermaga di lautan Pasifik itu turut menempatkan beberapa restoran termasuk Bubba Gump (rangkaian restoran antarabangsa yang diilhamkan dari filem Forrest Gump) dan Taman Tema Pasifik iaitu taman tema tertua di California dan terkenal dengan Hippodrome Merry-Go-Round serta Ferris Wheel berkuasa solarnya.

Hari ketiga di LA saya agak sibuk dengan program wawancara bersama pengarah dan pelakon HSM 3. Tetapi waktu terluang pada pagi itu tetap saya gunakan sebaiknya dengan berkungjung ke kompleks beli belah Bloomingdales di La Cienega Blvd dan Farmers Market di 3rd St.
Hari terakhir saya di LA iaitu 15 Oktober 2008 saya berusaha memanfaatkannya sebaik mungkin dengan berkunjung ke Univesal Studio. Berikutan pesawat saya untuk pulang ke Malaysia dijadualkan pada jam 1.45 pagi 16 Oktober, saya menggunakan masa yang ada untuk meronda bandar raya LA menaiki bas dan keretapi bawah tanah sehingga lewat malam.

Saya sempat singgah beberapa stesen dan berkesempatan berkenalan dengan berapa rakyat tempatan baik orang putih, berkulit hitam atau berketurunan Mexico. Ternyata lawatan singkat saya itu banyak membuka minda dan hati saya.

Kesimpulan yang saya dapat buat ialah orang Amerika bukanlah buruk seperti yang kebanyakan kita sangkakan. Memang benar rakyat Amerika prejudis terhadap orang Islam, tetapi senarionya sama seperti curiga kita terhadap mereka, yang sering mendapat gambaran yang salah penindasan Amerika terhadap negara Islam yang dimainkan oleh media.

Bangsa Amerika memang sama seperti orang kita, mereka peramah, baik hati dan sentiasa sedia menolong, cuma sebagai orang yang mendatang kita perlu ringankan mulut untuk bertanya. Jika ada lagi jemputan ke AS, saya pasti tidak akan menolak kerana empat hari di LA sebenarnya terlalu singkat untuk saya terokai keindahan negara, budaya dan bangsanya.

Pesan akhir saya kalau ke Amerika, jangan lupa pakai losyen badan serta bam bibir. Kulit kita orang Malaysia memang tidak serasi dan tahan cuaca sejuk kering di sana, nanti melelas kulit paha digesel kain seluar sendiri.